Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai, cinta mencintai, di antara suami isteri, lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka hilanglah segala keraguan. Tidak ada lagi kata mengata, tuduh menuduh dan ke pura-puraan.
Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah di waktu terang-terangan dan rahsia di waktu ghaib dan waktu syahadah. Lantaran itu tenteramlah jiwa suami dan ia berpuas hati kepada isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri walaupun beberapa lamanya ia terpisah dari isterinya. Demikian juga sikap isterinya terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan menggoda keduanya.
F: Perkahwinan Sebagai Syarikat Yang Dipimpin Oleh Suami:
Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama, di atas syura’, tolong menolong, cinta mencintai, di bawah pimpinan suami sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus. Inilah yang mendorong dan menolong melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. jika masih terdapat kepincangan di dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan. Benarlah Allah Taala di dalam firmanNya:
`Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang maaruf akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya”. (Al-Baqarah : 228)
” Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka”. (An-Nissa’: 34)
Lantaran itu sempurnalah pentadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya di dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam batas-batas ajaran Islam.
Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana’ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna’im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya himgga ke hari ini.
G: Perkahwinan Adalah Tanggungjawab Dan Amanah
Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Tiap-tiap orang dari kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah yang berfirman:
‘Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” (At Tahrim : 6)
Rasulullah s.a.w bersabda:
“ Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya”.
Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita biasa memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah ataupun menyalahi ajaran Islam padahal itulah yang paling utama diperhatikan dan diubati.
H: Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah:
Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagi Islam dari seorang muslim yang benar aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti.
Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawabnya terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka di segala peringkat hidup mereka. Kita hendak melihat isteri yang muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.,
Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Ta’aala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya waktu pagi:
” Bertaqwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja”.
Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anak-anaknya dan membentuk mereka menurut bentuk Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh kemanusiaan. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat.
Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan diri mereka kepada. Tuhan. Mereka taat setia kepada Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut mereka sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam.
Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan khadam mereka, di mana khadam mereka makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di luar kemampuannya, mereka menolongnya.
Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentuk yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w.
Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik di segala jurusan hidupnya. Dengan fesyen pakaiannya yang Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan tradisi di waktu suka dan duka Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah, adat-adat dan tradisi jahiliah yang di import dari luar.
Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang jurusan hidup keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya, tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.
I: Rumahtangga Muslim Sebagai Markas Memancarnya Cahaya:
Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi markas dakwah Islam. Setiap anggota keluarga yang aqil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga di sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik.
Isteri yang salihah berkemampuan menarik hati jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpat mengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.
Bidang dakwah Islamiah sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini, kecuali yang telah mendapat taufik Allah, telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan manusia. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita yang salihah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang maaruf dan merobohkan yang mungkar dan menghapuskan yang batil menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan.
Kita menghendaki rumahtangga muslim itu sebagai rumah cahaya yang memberi hidayah dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. la menghapuskan, memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya dan menyinari jalannya untuk di lalui oleh mereka. Maka dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan sambung menyambunglah daerah-daerah dan bercahaya dan bercantum di antara satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat.
Maka dengan demikian keperibadian Islam berkemampuan menyinari masyarakat dan memimpin nya di bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Baharulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan, yang bersih yang mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam dan seterusnya al-khilafah-al- Islamiah alamiah.
Untuk itu, saudara saudari putera puteri Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang misali yang menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan menyusahkan.
:: perkongsian daripada e-mail::